Monday, January 5, 2009

Kematian Suami: Iddah dan berkabung

Photobucket

Firman Allah yang bermaksud:

Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beriddah) empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis iddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat pada diri mereka menurut makruf. Allah Mengetahui apa yang kamu berbuat. (Surah al-Baqarah: 234)

Iddah bagi perempuan biasa yang kematian suami – 4 bulan 10 hari. Bagaimana pula dengan iddah perempuan hamil yang kematian suami? Berapa lamakah iddahnya? Menurut pendapat jumhur ulamak, iddah perempuan hamil yang kematian suami ialah sehingga dia melahirkan kandungannya.

Mereka mengambil dalil ayat al-Quran yang bermaksud:
Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu iddah mereka ialah sampai mereka melahirkan anak. Mereka mengatakan bahawa ayat di atas bersifat umum, samada untuk perempuan yang ditalak ataupun yang kematian suami.

Jumhur ulamak juga berdalilkan hadis riwayat Bukhari, Muslim, Nasa’I dan Abu Daud yang menjelaskan tentang iddah perempuan hamil yang kematian suami ialah sehingga kandungan dilahirkan. Manakala menurut riwayat dari Ali dan Ibnu Abbas r.a. bahawa perempuan hamil yang kematian suami iddahnya ialah waktu yang terjauh. Ini bermakna, apabila suaminya meninggal dunia dalam keadaan dia hamil, kemudian dia melahirkan sebelum tamat tempoh 4 bulan sepuluh hari, maka dia perlu menghabiskan tempoh tersebut sebagai batas iddahnya. Sebaliknya jika setelah tamat tempoh 4 bulan 10 hari itu tamat, sedangkan kandungannya belum lahir, maka tempoh iddahnya ialah selepas anak itu dilahirkan. Mereka menggabungkan antara dua ayat, iaitu ayat tentang iddah perempuan yang kematian suami dengan ayat tentang iddah perempuan yang mengandung. Mereka kata, menggabungkan kedua hukum iddah berkenaan adalah lebih baik daripada mencari tarjih.

Berkabung: Hukum dan tempohnya

Berkabung adalah wajib bagi perempuan yang kematian suami. Tempohnya ialah selama masa iddah berjalan (4 bulan 10 hari). Kaum kerabatnya dibenarkan berkabung dalam tempoh 3 hari sahaja, dan haram hukumnya jika melebihi tempoh berkenaan. Hadis dari Muslim dari Zainab binti Ummu Salamah menyatakan:

Aku masuk ke rumah Ummu Habibah ketika Abu Sufian (ayahnya) telah meninggal dunia, Ummu Habibah minta wangi-wangian yang berwarna kuning disebabkan za’faran dan lainnya, yang menjadi komposisi wangian itu. Ia digosok oleh seorang budak perempuan dengan wangian itu dan dia menggosok kedua pipinya dengannya. Kemudian dia berkata: Demi Allah, aku samasekali tidak memerlukan wangian ini, hanya aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda di atas minbar: Tidak diperbolehkan bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan hari akhir berkabung untuk seorang yang meninggal dunia lebih dari tiga hari, kecuali untuk suaminya, maka lama masa berkabung ialah empat bulan sepuluh hari.

Ibnu Kathir berkata:
“Berkabung ialah meninggalkan berhias diri, seperti memakai wangi-wangian dan mengenakan pakaian serta perhiasan dan sebagainya, yang semuanya itu menunjukkan kepada upaya menerima pinangan. Perkara ini wajib bagi setiap wanita dalam menjalani iddah kerana kematian suami. Dalam masalah ini hanya ada satu pendapat sahaja (tidak diperselisihkan) . Berkabung menurut apa yang disebukan di atas tidak diwajibkan ketika menjalani tempoh iddah raj’i. Juga dalam masalah ini ada satu pendapat sahaja. Pada masalah, apakah ia juga berlaku terhdap wanita yang ditalak ba’in. Ada dua pendapat. Berkabung diwajibkan atas semua wanita yang kematian suami, samada dia masih muda ataupun yang sudah putus haidhnya; juga samada dia merdeka ataupun hamba; samada dia seorang muslim ataupun kafir. Kerana ayat yang berhubungkait dengannya bersifat umum.”

Hukum 4
Mengapakah iddah disyariatkan?

1. Untuk mengetahui kebersihan rahim dari kehamilan, agar keturunan tidak menjadi kacau antara satu dengan yang lain.
2. Sebagai amalan ta’abbudi (ibadah) kerana mematuhi perintah Allah.
3. Sebagai pernyataan rasa sedih dan duka cita atas kematian suami, serta pengakuan seorang isteri terhadap jasa dan kebaikan suami.
4. Untuk mempersiapkan waktu yang baik bagi suami isteri yang ditalak untuk memulihkan kehidupan berumahtangga dengan jalan rujuk. Maksudnya ialah memberi peluang dari segi masa agar mereka dapat rujuk semula.
5. Sebagai peringatan bahawa perkahwinan adalah perkara besar, bukan main-main.

0 gossips:

Pesanan Penaja

“Bila engkau memandang segalanya dari Tuhanmu yang mencipta segalanya, yang menimpakan ujian, yang menjadikan sakit hatimu, yang membuatkan keinginanmu terhalang serta menyusahkan hidupmu, pasti akan damailah hatimu kerana masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan Allah tidak tahu betapa deritanya hidupmu,retaknya hatimu, tapi mungkin itu yang Allah mahukan kerana Dia tahu hati yang sebeginilah lebih lunak, mudah dekat dan akrab dengaNya….